PERUTUSAN | ||
Alhamdulillah, dengan limpah inayah-Nya, Buku Panduan proses Nikah, Cerai dan Ruju' di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Mahkamah Syariah telah berjaya diedarkan sebagai garis panduan asas kepada masyarakat. Allah S.W.T telah berfirman: "Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (ruju') dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu merujukkan atau melepaskannya) dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya, nescara Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), (At-Talaq 65:2) Ayat suci di atas telah memaparkan satu proses dan prosedur asas kepada salah satu urusan munakahat, iaitu masalah talak dan ruju'. Ini dengan jelas, walaupun tanpa memerlukan kita menyemak sebarang kitab-kitab tafsir, menunjukkan betapa pentingnya sesuatu urusan munakahat itu mempunyai proses dan prosedur yang teratur. Munakahat mempunyai dua sisi, iaitu sisi hukum dan sisi peraturan perundangan. Hukum adalah perkara asas sah dan batal, halal dan haram sesuatu urusan munakahat. Manakala sudut perundangan pula adalah pelengkap kepada pentadbiran hukum tadi, dan termasuk dalam tuntutan taat kepada Ulul-Amri (pemerintah). Buku Panduan Proses Nikah, Cerai dan Ruju' ini, diterbitkan atas maksud bagi memudahkan masyarakat Islam untuk berurusan dengan ehwal munakahat: nikah, talak dan ruju'. Buku ini mendokong komitmen bagi menjunjung hukum hakam agama dan memantapkan lagi proses munakahat sama ada di peringkat jabatan agama mahupun di peringkat mahkamah syariah. Tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di atas daya usaha untuk menyediakan kandungan buku ini. Tidak lupa juga kepada pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang telah membiayai penerbitan dan percetakannya. Akhirnya, dengan izin Allah S.W.T, buku ini tersedia untuk dimanfaatkan oleh masyarakat seluruhnya. ![]() "Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih kesanggupan. Dan tiada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya lah aku kembali". (Hud 11:88) Sekian, terima kasih. Y.B. MEJAR JENERAL DATO' SERI JAMIL KHIR BIN HJ. BAHAROM (B) | ||

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته