05:48
Subuh
07:21
Dhuha
13:00
Zohor
16:19
Asar
18:59
Maghrib
20:09
Isyak

agensi 1 agensi 1 agensi 1 agensi 1

 | 

Arkib Berita

LEBIH 1,200 HADIR MEMERIAHKAN MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN TILAWAH DAN HAFAZAN WILAYAH PERSEKUTUAN

 

MAIN_FRAME.jpeg

22 OKTOBER 2026 (KHAMIS) - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan rakan strategik menganjurkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1448H/ 2026M (MTHQWP) pada 20 hingga 22 Oktober 2026 (Selasa – Khamis) di Dewan Muktamar JAWI, Kuala Lumpur.

Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan kali ini telah mengangkat tema "MADANI Dihayati Ummah Diberkati". Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir YB Senator Puan Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBrs. Tuan Haji Hanifuddin bin Roslan, Pengarah JAWI, ketua-ketua perkhidmatan dan pegawai kanan kerajaan di Wilayah Persekutuan serta kira-kira 1,200 orang jemputan awam.

MTHQWP kali ini menghimpunkan seramai 37 orang peserta yang terdiri daripada 7 orang peserta Tilawah dan 30 orang peserta Hafazan. Sepanjang program berlangsung, persembahan dan bacaan para peserta dinilai oleh 20 orang juri berpengalaman, merangkumi 9 orang hakim Tilawah dan 11 orang hakim Hafazan.

MTHQWP bertujuan melahirkan para huffaz, qari, dan qariah terbaik bagi mewakili Wilayah Persekutuan ke Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada tahun hadapan. Di samping itu, penganjuran ini juga bertujuan meningkatkan mutu bacaan serta hafazan al-Quran meliputi aspek tajwid, suara, lagu, dan tarannum.

Para peserta yang menyertai MTHQWP tahun ini terdiri daripada mereka yang telah dipilih melalui sesi saringan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan. Peserta-peserta Tilawah juga merupakan antara peserta terbaik yang telah mengikuti kelas bimbingan Akademi Al-Quran Wilayah Persekutuan (AQWA) pada tahun ini.

Penyertaan MTHQWP tahun ini melibatkan peserta berumur 18 tahun dan ke atas bagi kategori Tilawah (Lelaki dan Perempuan), serta peserta berumur 13 hingga 25 tahun bagi kategori Hafazan (Lelaki dan Perempuan) bagi Kategori 1 hingga10 Juzuk, 1 hingga 20 Juzuk, dan 1 hingga 30 Juzuk.

Selain acara Tilawah dan Hafazan al-Quran yang menjadi teras penganjuran program, pelbagai aktiviti sampingan turut disediakan. Antaranya termasuklah penyampaian ibrah dalam sesi tilawah, kuiz interaktif kepada pengunjung, gerai-gerai jualan serta pameran daripada agensi kerajaan dan rakan strategik JAWI seperti YAPEIM, PPZ MAIWP dan lain-lain. Majlis penutupan turut diserikan dengan persembahan bacaan al-Quran oleh Johan Qari sebagai inspirasi kepada para peserta dan tetamu yang hadir.

Johan Qari, Qariah, serta Johan Hafazan Kategori 1–30 Juzuk masing-masing menerima hadiah wang tunai RM6,000.00, perbelanjaan menunaikan umrah bernilai RM7,000.00, piala dan sijil serta hadiah iringan. Manakala Johan Hafazan Kategori 1–20 Juzuk dan 1–10 Juzuk pula masing-masing menerima hadiah wang tunai RM4,000.00 dan RM3,000.00, piala dan sijil serta hadiah iringan.

Penganjuran MTHQWP ternyata menjadi wadah penting dalam melahirkan generasi celik al-Quran. Usaha ini bukan sahaja dapat menyemarakkan syiar Islam melalui seni bacaan dan hafazan, malah berupaya menarik minat masyarakat untuk mendekati, memahami, serta menghayati nilai-nilai murni yang terkandung di dalam al-Quran untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
 
 
WhatsApp Image 2026 08 06 at 10.30.58 AM (2) WhatsApp Image 2026 08 06 at 10.30.58 AM (1)
WhatsApp Image 2026 08 06 at 10.30.57 AM WhatsApp Image 2026 08 06 at 10.30.58 AM (5)
WhatsApp Image 2026 08 06 at 10.30.58 AM WhatsApp Image 2026 08 06 at 10.30.58 AM (4)

 

 

Disediakan oleh:

 

Unit Komunikasi Korporat 

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan