
|
15 MEI 2026M | 27 ZULKAEDAH 1447H (JUMAAT) – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Bahagian Penyelidikan telah berjaya menganjurkan Seminar Kesedaran Halal 2026 khusus kepada pengusaha kantin sekolah yang terdiri dari Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) yang merupakan sekolah di bawah seliaan JAWI. Antara objektif utama penganjuran seminar ialah untuk menyampaikan maklumat kepada pengusaha kantin berhubung konsep halal dan toyyiba menurut perspektif Islam. Selain itu, ia juga diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada pengusaha kantin terhadap kepentingan pendidikan pengendalian bahan mentah dan makanan dengan cara yang betul serta memenuhi standard kualiti makanan di bawah piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Seminar yang berlangsung pada 14 Mei 2026 (Khamis) di Dewan Muslimat, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini bermula dengan slot pertama bertajuk “Memahami Konsep Halalan Thayyiban” yang disampaikan oleh YBrs. Puan Ahlami binti Abdullah Akhili, Penolong Pengarah Kanan dari Cawangan Strategik dan Luar Negara, Seksyen Kualiti dan Pematuhan Standard, Bahagian Pengurusan Halal JAKIM.
Manakala slot kedua pula telah disampaikan oleh YBrs. Puan Ts. Nurul Huda binti Aziz, Ketua Penolong Pengarah dari Cawangan Pematuhan Domestik, Program Keselamatan & Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi tajuk “Pematuhan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM)”.
Program diteruskan lagi bagi slot ketiga bertajuk “Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BESS)” yang telah disampaikan oleh YBrs. Puan Nuraini binti Ghaifullah, Ketua Penolong Pengarah dari Cawangan Pre-Market Approval, Program Keselamatan & Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Majlis penutup seminar telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Kartini binti Ahmad, Ketua Penolong Pengarah, dari Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Antara amanat dalam ucapan beliau dalam program tersebut agar ilmu yang diperolehi mampu dipraktik dan diaplikasikan sepenuhnya dalam pengurusan kantin sekolah masing-masing.
Diharap semoga dengan penganjuran seminar seperti ini dapat memberi manfaat serta membantu merealisasikan konsep halalan toyyiban dalam penyediaan dan pengendalian makanan kepada murid-murid SRA dan SIRAJ demi melahirkan insan kamil berteraskan nilai Islam.
|
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
|
Disediakan oleh:
Bahagian Penyelidikan
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته