21 Oktober 2017 (Sabtu) - Masjid Ar-Rahah dengan kerjasama Imtiyaz Travel & Tour telah menganjurkan Kursus Umrah Mabrurah. Seramai 77 peserta telah menghadiri kursus ini.
Sesi teori & simulasi telah dijalankan oleh para pegawai daripada Imtiyaz Travel & Tour. Kursus bermula seawal 9 pagi ini tamat pada jam 2 petang. Melalui kursus ini para peserta telah dibekalkan dengan teori dan praktikal berkaitan ibadah umrah bagi memudahkan para peserta melaksanakan ibadah berkenaan di Tanah Suci.
21 Oktober 2017 (Sabtu) – Bahagian Perkahwinan Dan Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Masjid Al-Akram Kg. Datuk Keramat, Kuala Lumpur sekali lagi menganjurkan Seminar Keluarga Mawaddah Siri 2/2017 bertempat di Dewan Serbaguna Masjid Al-Akram, Kg. Datuk Keramat.
Majlis ini diadakan untuk meningkatkan dan mengukuhkan jalinan persefahaman, kepimpinan serta kewibawaan sesebuah institusi keluarga di samping untuk mendidik dan membimbing pasangan dengan memberi pendedahan teknik dan kemahiran suami isteri dalam menguruskan soal-soal rumah tangga.
Selain itu, seminar ini dianjurkan untuk membantu mengukuhkan institusi keluarga khususnya mengikut landasan agama dan bagi membantu mengurangkan permasalahan rumah tangga perceraian yang dihadapi oleh umat Islam.
Seminar ini terbahagi kepada tiga slot ceramah bermula dengan ceramah bertajuk ‘Keluarga Mawaddah Keluarga Impian’ yang dimoderator oleh Ustaz Khairul Asyraf bin Ahmad (Pegawai BPPK JAWI) dan penceramahnya ialah Prof. Madya Dr. Mohd Nor Mamat (Perunding dan Motivasi Kekeluargaan). Ceramah kedua pula Ceramah Pengurusan Kewangan Keluarga bertajuk ‘Poket Sihat, Keluarga Sihat’ yang dimoderatorkan oleh Ustazah Mursilalaili binti Mustapa Sa’di (Pegawai BPPK JAWI) dan diceramahkan oleh Cik Noorhaliza binti Abu Bakar (AKPK). Manakala slot ceramah ketiga Forum Kekeluargaan bertajuk ‘Penghayatan Agama Dalam Menangani Isu-Isu Kekeluargaan Masa Kini’ yang dipanelkan oleh Puan Suzana Ghazali (Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie) dan Ustaz Abdul Halim bin Zakaria (Pengamal Perubatan Islam).
Seminar yang dirasmikan oleh YBrs. Dr. Abdul Ghaffar bin Surip, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga JAWI ini turut diserikan dengan persembahan khas oleh Kumpulan Marhaban Muslimah Masjid Al-Akram. Turut hadir, Pengerusi Masjid Al-Akram.
Foto dan teks oleh:
Mohamad Hafiz Bin Haji Zakaria
|
27 - 29 Oktober 2017 (Jumaat - Ahad) - Program Pengajian Akbar Kitab Hidayatus Salikin Fi Suluki Maslakil Muttaqin (Petunjuk Jalan Pada Perjalanan Orang Yang Takut Kepada Allah) telah berjaya dijalankan selama 3 hari 3 malam bermula 27 – 29 Oktober 2017. Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran melebihi 700 orang dalam mendidik jiwa untuk menjadi seorang muslim yang berilmu, beramal dan bertaqwa.
Program yang dianjurkan secara kerjasama di antara Galeri Ilmu dan Masjid Al-Hidayah Kg. Sg. Penchala Kuala Lumpur serta mendapat kerjasama daripada beberapa pihak antaranya Pejabat Pentadbiran Pusat Zon 6 Bahagian Pengurusan Masjid JAWI, Wakaf An-Nur, Syarif Tea, Sahabatkuliah Bertemu Kerana Ilmu livestreaming, Rabbani Production, Rabbani Lamb House, Restoran Line Clear KL, ABS Catering, Citra Nusantara Catering, kedai Runcit Norhayati, 123 Conner, Salon Az-Zahra dan lain-lain.
Di samping itu, turut memeriahkan lagi Pengajian Akbar dengan pameran-pameran dan jualan-jualan daripada agensi kerajaan dan lain-lain seperti Bank Rakyat, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, PDRM, Kazanah al-Banjari dan sebagainya. Majlis berakhir dengan Pengijazahan Sanad kitab Hidayatus Salikin oleh Syeikh Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki.
Disediakan oleh :
Masjid Al-Hidayah, Kg. Sungai Penchala, Kuala Lumpur &
Pejabat Pentadbiran Pusat Zon 6, JAWI.
|
|
24 Oktober 2017 - Sekolah Rendah Agama(SRA)/Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Saidina Uthman Ibnu Affan (SUBA) melalui Bahagian Pelajaran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan telah mengadakan Lawatan Jejak Ilmu Johor Bharu , Singapura dan Kepulauaan Riau pada 15-18 Okt 2017 / 25-28 Muharam 1439H dimana SRA/ SIRAJ Saidina Uthman Ibnu Affan telah melawat 4 buah sekolah disana iaitu Pusat Pendidikan Jamiyah Singapura , Sek. Ren. Islam al-Hidayah , Skudai, Sek. Ren.Islam Al Akhyar Johor Bharu dan Sekolah Dasar Muhammadiyah Plus Islamic School Kota Batam.
Rombongan seramai 45 orang terdiri daripada dua pegawai JAWI daripada bahagian pelajaran iaitu Penolong Pengarah Kanan Ustazah Zarliza binti Ramli dan Ustazah Siti Fuziah binti Bachok. Turut serta bersama Pengerusi SRA / SIRAJ Datuk Haji Salleh bin Yusop,Tuan Haji Aminuddin bin Hj Kattan Guru Besar SRA/ SIRAJ SUBA, serta guru-guru lain.
Lawatan berlangsung selama 4 hari 3 malam ini bertujuan untuk berkongsi idea bertukar-tukar pandangan dalam memacu hala tuju kecemerlangan SRA/SIRAJ SUBA agar lebih gemilang lagi dari pelbagai aspek berdasarkan pengurusan pendidikan JAWI (SKPPJ) yang merangkumi kepimpinan dan hala tuju pengurusan organisasi pengurusan kurikulum, pengurusan hem pengajaran dan pembelajaran (PdP) Dan kemenjadian murid.
Semoga hasil lawatan ke 4 buah sekolah tersebut sedikit sebanyak dapat membuka minda guru-guru dan seterusnya mengadaptasikannya di SRA/SIRAJ SUBA pada masa akan datang agar lebih baik dari masa ke semasa.
|
Disediakan Oleh:
Bahagian Pelajaran, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
|
3 November 2017M/ 14 Safar 1439H (Jumaat) – Masjid Al-Imam Ash-Shafie (MAIAS),Taman Maluri dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat (PPZ) telah mengadakan Kuliah Maghrib Khas bertempat di Dewan Solat Masjid Al-Imam Ash-Shafie Taman Maluri, Kuala Lumpur.
Majlis dimulakan dengan solat maghrib berjemaah kemudian disusuli dengan Kuliah Maghrib Khas bertajuk “Mendamba Syurga Ilahi” yang disampaikan oleh YH Dato’ Badli Shah Alauddin. Dalam kuliah tersebut,penceramah menceritakan mengenai tingkatan dan tahap-tahap syurga yang diciptakan oleh Allah SWT . 400 orang Jemaah yang hadir memeriahkan ceramah ini.
Hadir sama pada kuliah maghrib khas ini YBhg Datuk Hj Che Mat bin Che Ali (Pengerusi PPZ) Tn Hj Mohamad Nor bin Ibrahim Pengerusi Masjid Al-Imam Ash-Shafie,barisan Jawatankuasa,Pegawai serta kakitangan Masjid Al-Imam Ash-Shafie.
Disediakan oleh :
Pejabat PentadbiranMasjid Al-Imam Ash-Shafie (MAIAS),
Taman Maluri, Kuala Lumpur
|
7 Disember 2017 (Khamis) – Masjid Talhah bin ‘Ubaidillah, Taman Alam Sutera Bukit Jalil Kuala Lumpur telah mengadakan Kem Anak Soleh Ibu Ayah 2017 pada 6-7 Disember 2017 dengan penyertaan seramai 80 orang peserta yang berumur dari 8 – 15 tahun. Kem tersebut dikendalikan oleh Ustaz Mohamad Muhaimin bin Mohamad Zaki, Jurulatih Utama Dakwah, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Ustaz Mohd Ali Yusni Bin Mansor, Guru & Penerima Anugerah Guru Inovasi Peringkat Kebangsaan 2010 SK Haji Abu Bakar, Mukim Lepai, 05350, Alor Setar, Kedah Darul Aman.
Antara pengisian kem tersebut ialah Modul Fardhu Ain, Modul Pengurusan Ibadah, Al-Quran, Akhlak, Modul Pengurusan Jenazah dan Ceramah Motivasi Perdana Peserta bersama Ibubapa serta beberapa aktiviti latihan dalam kumpulan in-door dan out-door.
Majlis penutup disempurnakan oleh Tuan Haji Othman Odanu bin Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Talhah bin ‘Ubaidillah dengan penyampaian sijil penyertaan kepada para peserta.
Disediakan oleh Pusat Pentadbiran Zon 5, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
|
18 Disember 2017 / 28 Rabiul Awal 1439H (Isnin) Bukit Jalil - Masjid Talhah bin ‘Ubaidillah dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Sub Zon 8 Parlimen Bandar Tun Razak, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menganjurkan Program ke Masjid Sempena Maulidur Rasul 1439Hpada 17 Disember 2017 (Ahad) dari jam 7.30 pagi hingga 3.00 petang.
Program bermula dengan perarakan Maulidur yang disertai 8 kontinjen perarakan yang dirasmikan oleh DatukSaharudin Bin Hj Zainal Abidin, Timbalan Ketua Bahagian UMNO Bandar Tun Razak. Kemudian diikuti dengan ceramah perdana yang disampaikan oleh Y.Bhg. Ustaz Dr. Farid Ravi bin Abdullah, Pensyarah KUIS dan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Selangor. Program tersebut diserikan dengan program mewarna kanak-kanak, pertandingan sukan rakyat, pertandingan gubahan, menderma darah yang dikendalikan Pusat Darah Negara Kementerian Kesihatan Malaysia.
Program Jom ke Masjid sempena Maulidur Rasul diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah kepada para peserta yang terlibat menjayakan program tersebut yang disempurnakan oleh Tuan Haji Othman Odanu bin Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Talhah bin ‘Ubaidillah.
Foto dan teks oleh :
Masjid Talhah Bin Ubaidilallah &
Pejabat Pentadbiran Masjid & Surau Pusat Zon 5
Bahagian Pengurusan Masjid,JAWI
|
12 Januari 2018 (Jumaat) – Masjid Al-Muqarrabin dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat W.P telah menganjurkan Forum sempena Sambutan Maulidur Rasul bertempat di Dewan Solat Utama Masjid Al-Muqarrabin Bandar Tasik Selatan dengan tajuk “Akhlak Nabi Dakwah Kami”. Panel terdiri daripada tiga bersaudara Ustaz Mohd Hariri Mohd Daud ,Ustaz Mohd Ihsan Mohd Daud dan Ustaz Mohd Zarifi Mohd Daud.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah YBhg. Tn Hj Mohammad Khalil Bin Ibrahim, Ketua Imam Masjid Al-Muqarrabindan Ustaz Mohd Dziyaulhak Hashim selaku Eksekutif Kanan Zakat dari PPZ Wilayah Persekutuan. Hadirin seramai 500 orang yang terdiri daripada masyarakat di sekitar kariah bandar tasik selatan dan sg besi.
Foto dan Teks disediakan oleh:
Masjid Al-Muqarrabin
Pejabat Pentadbiran Masjid Dan Surau Zon 5
Bahagian Pengurusan Masjid
|
18 Januari 2018 (Khamis) – Masjid Saidina Othman Ibn Affan, Bandar Tun Razak telah menganjurkan Bicara Ilmu di Dewan Solat Utama masjid Saidina Othman Ibn Affan dengan tajuk “Keluarga Syurga 2018 ”. Kupasan ceramah disampaikan oleh YBhg Tn Hj Hushim Salleh PakarPerunding Motivasi & Kaunseling.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah YBhg. Datuk Salleh Bin Yusup, Pengerusi Masjid Saidina Othman Ibn Affan, Ustaz Hassim Ab Ghani, Ketua Imam Masjid dan Ustaz Abdul Bar Bin Osman Timb. Ketua Imam masjid. Hadirin seramai 400 orang yang terdiri daripada masyarakat di sekitar kariah Bandar Tun Razak.
Foto dan Teks disediakan oleh:
Masjid Saidina Othman Ibn Affan
Pejabat Pentadbiran Masjid Dan Surau Zon 5
Bahagian Pengurusan Masjid
|
21 Januari 2018 (Ahad) – YBhgTuan Hj Abdul Aziz Bin Jusoh Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)telah menyempurnakan Majlis Perasmian Program : Truck Free Market 2.0.Hadir sama pada majlis tersebut ialah YB Datuk Rizalman Bin Dato’ Hj Mokhtar, Ahli Majlis Penasihat DBKL, YBhg Tn Hj Mohd Taib Bin Haji Ubah, Pengarah Jabatan Penerangan WPKL, dan YBhg Dato ‘ Ahmad Nazri Bin Ibrahim selaku Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Zaid Bin Thabit, Desa Tun Razak.
Program ini sebenarnya adalah cetusan idea dan aktiviti ini telah pun dilaksanakan oleh Pihak NGO Kaki Volunteers Malaysia & NGO T6 Rangers Malaya sejak beberapa tahun yang lalu melalui hasil sumbangan para sukarelawan mereka. Dalam pada itu, ini adalah program kali kedua yang dilakukan bersama-sama dengan Pihak Masjid Zaid Bin Thabit, Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. Program ini bertujuan untuk mengajak & memberi galakan kepada orang ramai supaya bersama-sama menginfaqkan barang-barang keperluan dan dalam masa yang sama, dapat membantu rakan-rakan kita (anggota masyarakat) yang lebih memerlukan, agar sedikit sebanyak membantu tanggungan & kehidupan mereka. Barangan yang boleh disumbangkan adalah seperti pakaian, pek makanan, barangan makanan keperluan dapur (beras, tepung, gula, susu, minyak masak,), barangan basah (ikan, daging, sayuran), lampin bayi, susu untuk bayi, buku-buku bacaan & aktiviti untuk anak-anak (menulis, mengeja, mewarna), alat tulis dan apa jua barangan yang boleh memberi manfaat. Semua barangan ini ditawarkan kepada setiap pengunjung yang hadir untuk mengambilnya secara percuma. Program ini terbuka & dialu-alukan kepada seluruh lapisan masyarakat berbilang bangsa & agama.
Disediakan Oleh:
Masjid Zaid Bin Thabit &
Pejabat Pentadbiran Pusat Zon 5
Bahagian Pengurusan Masjid
JAWI, Kuala Lumpur
|
MALAM MAHABBAH AL-QURAN 1439H
BACAAN 30 JUZUK AL-QURAN DAN TAHLIL PERDANA
25 Januari 2018M / 8 Jamadil Awwal 1439H ( Khamis ) - Masjid Al-Zakirin, Taman Wilayah Selayang, Kuala Lumpur telah menganjurkan Malam Mahabbah Al-Quran tahun 1439H/2018M bertempat di Dewan Solat Utama Masjid Al-Zakirin. Program ini telah disertai hampir 200 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dari kalangan jemaah dan surau-surau di bawah naungan masjid.
Pada malam tersebut, peserta telah dibahagikan kepada 30 kumpulan – 3 orang setiap kumpulan mengikut bilangan juzuk Al-Quran. Juzuk 1 – 15 dibaca oleh muslimat manakala juzuk 16 – 30 dibaca oleh muslimin. Setiap kumpulan terdiri daripada dewasa, belia dan remaja. Bacaan 30 juzuk Al-Quran bermula selepas Solat Fardhu Maghrib dengan taklimat ringkas daripada Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Zakirin.
Seusai bacaan Al-Quran 30 juzuk secara serentak, Tahlil Perdana dimulakan dan dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Firdaus Bin Zakaria, Timbalan Ketua Imam merangkap Ketua Pentadbir Masjid Al-Zakirin.
Program diteruskan lagi dengan penyampaian cenderahati kepada wakil pembaca Al-Quran dari muslimin dan muslimat yang telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Ab. Wahab Bin Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Zakirin.
Jamuan makan malam untuk para jemaah dan tetamu yang hadir adalah sebagai penutup program selepas Solat Fardhu Isyak.
Pihak Masjid Al-Zakirin amat berharap program ini dapat dijadikan sebagai salah satu daripada acara tahunan masjid kerana ianya dapat memupuk minat dan rasa cinta kepada Kalamullah yakni Al-Quran disamping mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama jemaah dari pelbagai peringkat umur di dalam kariah Taman Wilayah Selayang ini.
Disediakan oleh Pusat Pentadbiran Zon 1, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
|
|