IHYA RAMADAN BERSAMA ORANG KURANG UPAYA PENDENGARAN (OKU) TAHUN 2025
22 MAC 2025M / 21 RAMADAN 1446H (SABTU) - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan(JAWI) melalui Bahagian Pengurusan Dakwah dengan kerjasama Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) dan Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur) telah menganjurkan Program Ihya’ Ramadan bersama komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) Pendengaran bertempat di Masjid Asy-Syakirin KLCC. Program ini telah dihadiri oleh seramai 200 orang peserta daripada Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA), Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur, dan pelajar Kelas Al-Quran dan Fardu Ain(KAFA) Pekak Pandan Perdana.
Majlis dimulakan dengan Tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Fathullah Ishak yang bertajuk “Puasa yang Sia-Sia”. Seterusnya, majlis disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh YBrs. Puan Suraiti binti Alias, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI. Para peserta turut diraikan dengan penyampaian sumbangan berupa barang keperluan asas sebagai persediaan menyambut ketibaan Idul Fitri. Program ini juga turut mendapat sumbangan daripada syarikat Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (McDonalds) yang telah menaja sebanyak 180 bungkus makanan untuk para peserta OKU.
Program telah diakhiri dengan Majlis Berbuka Puasa dan Solat Sunat Terawih secara berjemaah. Pihak penganjur turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Masjid Asy-Syakirin KLCC selaku tuan rumah dan rakan strategik dalam menjayakan program ini. Semoga program ini dapat menjadi pemangkin kepada komuniti OKU untuk lebih bersemangat dalam menjalani ibadah dan menambahkan rasa kesyukuran dalam bulan yang mulia ini.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan