05:49
Imsak
05:59
Subuh
13:22
Zohor
16:46
Asar
19:31
Maghrib
20:45
Isyak

agensi 1 agensi 1 agensi 1 agensi 1

Saiz Teks A- A A+
A A A
 | 

Arkib Berita

MAJLIS SAMBUTAN MA'AL HIJRAH 1446H/2024M PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN

450612730 872248584718984 8037567931043616290 n

 

11 JULAI 2024M | 5 MUHARRAM 1446H (KHAMIS) - JAWI dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan rakan strategik menganjurkan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1446H/2024M di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Majlis disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir Kolonel Datuk Haji Mohd Ajib Ismail, Pengarah JAWI dan Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP. Majlis dihadiri lebih 1,000 tetamu dimulakan dengan Persembahan Khas Ma‘al Hijrah daripada Kumpulan Nasyid Al-Rafiq yang terdiri daripada imam dan bilal masjid sekitar Wilayah Persekutuan.

Antara pengisian utama Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan ialah Bual Bicara Khas Ma‘al Hijrah yang mengupas topik menarik iaitu “Hijrah Fitrah Menuju Al-Falah.” Forum tersebut membariskan ahli panel undangan tersohor iaitu al-Fadil Ustaz Haryanto Rizal bin Rokman dan Imam Muda Hassan. Acara kemuncak pada majlis tersebut adalah pengumuman dan penyampaian hadiah kepada para penerima Anugerah Tokoh Utama dan Anugerah Khas Ma‘al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1446H/2024M bagi kategori Pengurusan Masjid, Pendakwah, Korporat, dan Ilmuwan. Kesemua kategori anugerah yang diperkenalkan merupakan salah satu bentuk penghargaan dan dorongan terhadap kesungguhan dan komitmen pelbagai pihak dalam menggerakkan agenda meninggikan syiar Islam di Wilayah Persekutuan.

Berikut merupakan senarai penerima Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah sempena Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1446H/2024M:

A.Tokoh Utama
Tan Sri Abdul Rashid Hussain (77 tahun) merupakan Pengerusi Lembaga Tabung Haji dan Pengasas Kumpulan RHB Bank. Di bawah kepemimpinan beliau dan pasukannya, Kerajaan Arab Saudi telah menobatkan Malaysia melalui Tabung Haji sebagai penerima Anugerah Labbaittom bagi kategori kepuasan tertinggi dalam perkhidmatan pada 19 Jun 2024. Beliau juga terlibat dalam kegiatan kemasyarakatan seperti wakaf pembangunan masjid dan pusat kebajikan bagi golongan asnaf.

B.Anugerah Khas Kategori Pendakwah
Cik Nur Ain Sumaiyah@Sumitra binti Valaitham (32 tahun) merupakan Eksekutif Unit Outreach Hidayah Centre Foundation. Beliau juga merupakan pembimbing Kursus Intensif Fardu Ain (KIFA) mualaf di Kompleks Darul Hidayah, Jalan Sentul. Beliau terlibat sebagai pasukan penyelidik bersama bagi kajian “Metode Interaksi Non Muslim dengan Al - Quran dan Tafsirannya” dan Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Mualaf JAWI (2023-2025). Beliau adalah bekas penganut agama Hindu kemudian memeluk agama Islam pada usia 18 tahun dan mula berjinak-jinak mendalami ilmu agama Islam semenjak usia 8 tahun.

C.Anugerah Khas Kategori Korporat
Encik Hafiz Oon Jun Seong (34 tahun) merupakan Pengurus Syarikat Mr Bentong World Trading. Beliau adalah seorang mualaf yang membangunkan perniagaan produk minuman kesihatan sekaligus menjadi Pembayar Zakat di Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP) bernilai RM5 juta pada tahun 2023. Beliau juga pernah tersenarai dalam “Top 100 Young CEO” pada tahun 2023.

D.Anugerah Khas Kategori Ilmuwan
Dr. Asmawati binti Muhamad (44 tahun) merupakan Pensyarah Kanan Program Sains Gunaan dengan Pengajian Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Beliau pernah bekerjasama dengan JAWI bagi menjayakan projek Green Mosque di Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan pada 24 April 2022. Beliau banyak terlibat dalam projek penyelidikan berkaitan pembangunan Masjid Hijau di dalam dan luar negara.

E.Anugerah Khas Kategori Pengurusan Masjid
Tuan Haji Mohd Aizul bin Adnan (50 tahun) merupakan Pengerusi Masjid Zaid bin Haritsah, Jalan Gombak Kuala Lumpur. Beliau pernah mengetuai Program Korban Luar Negara dan Pemberian Sumbangan Al-Quran, Sumbangan Tunai Bagi Program Telaga & Baikpulih Infrastruktur Jalan Raya di Selatan Thailand dan Kemboja. Turut terlibat sebagai Pegawai Pasukan Bomba Sukarela serta menggerakkan projek dan program komuniti meliputi aktiviti khairat kematian, keagamaan, pertanian dan ekonomi. Di bawah kepemimpinan beliau dan pasukannya, Masjid Zaid bin Haritsah pernah menerima penarafan 2 Diamond dalam Program Rumah Ibadah Hijau di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta menganjurkan Program Mahabbah Tahun Baru Cina untuk memperkenalkan fungsi masjid dan Islam kepada golongan bukan Islam.

Tokoh Utama menerima hadiah wang tunai berjumlah RM8,000.00, kepingan emas sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), senaskhah al-Quran sumbangan Yayasan Restu serta plak dan sijil. Manakala penerima Anugerah Khas Ma’al Hijrah pula masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM5,000.00, kepingan emas sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), senaskhah al-Quran sumbangan Yayasan Restu serta plak dan sijil. Kesemua penerima anugerah dipilih berdasarkan pencalonan yang diterima serta keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa penilaian berdasarkan kriteria dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1446H/2024M diadakan bertujuan memperingati dan mengambil pengiktibaran dari peristiwa hijrah baginda Nabi Muhammad SAW supaya dapat diamalkan dalam kehidupan. Ketibaan tahun baru hijrah saban tahun harus menjadi medan untuk memperbaharui niat, azam dan matlamat dalam kehidupan. Detik tersebut perlu menjadi peringatan untuk sentiasa memperbaiki diri agar menjadi muslim yang taat kepada perintah Allah SWT dan menjadi manusia yang bertanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Selain majlis sambutan tersebut, masjid dan surau di seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan juga turut menganjurkan pelbagai pengisian menarik bagi menyemarakkan lagi sambutan Ma’al Hijrah di peringkat kariah masing-masing.

 

450649495 872248254719017 7278780575464281949 n 450616445 872248371385672 1405455879948228065 n
450366054 872248541385655 1981302360155502594 n 450817693 872248514718991 4270966822444179488 n
450110175 872248458052330 8459852305477215726 n 450221534 872248741385635 8342231397896490294 n
450678377 872248691385640 2697468389851634772 n 450879503 872248651385644 7504766396797867096 n

 

Disediakan oleh:

 

Bahagian Pengurusan Dakwah,

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

 

 

 


Cetak   Emel