120 KELUARGA TERIMA MANFAAT PROGRAM ZIARAH DAKWAH KOMUNITI DAN SILATURRAHIM SIRI 3/2020
120 KELUARGA TERIMA MANFAAT PROGRAM ZIARAH DAKWAH KOMUNITI DAN SILATURRAHIM SIRI 3/2020
16 MEI 2020M | 23 RAMADHAN 1441H (SABTU) - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) perlu terus bergerak ke hadapan dan menjadi contoh dalam menyantuni masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama serta mencari alternatif menyampaikan sumbangan walau dalam keterbatasan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.
Kali ini, Bahagian Pengurusan Dakwah, JAWI dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Ikan Emas, Jalan Cheras, Kuala Lumpur telah mengadakan Program Ziarah Dakwah Komuniti dan Silaturrahim bersama Penduduk Setempat Siri 3 pada 16 Mei 2020 (Sabtu) baru-baru ini.
Program ini merupakan salah satu usaha dakwah untuk mendekati masyarakat secara berhikmah dan bijaksana sesuai dengan situasi yang terhad dalam tempoh PKP serta membantu mengurangkan masalah sosial yang mungkin timbul akibat desakan yang menghimpit hidup dan hilang mata pencarian sewaktu wabak ini melanda.
Sekali lagi, seramai 120 buah keluarga telah menerima sumbangan barangan keperluan asas dapur berupa beras, milo, kicap, minyak masak, gula, susu tin dan biskut. Sumbangan ini serba sedikit dapat membantu mengurangkan beban dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.
Sumbangan telah disampaikan oleh Ustaz Norhafizi bin Ab. Rahim, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Dakwah bagi mewakili Pengarah Jawi. Hadir sama adalah Tuan Mokhtar bin Mohd Yunus, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Ikan Emas, Jalan Cheras, wakil Persatuan Warga Emas, Taman Ikan Emas, Tuan Haji Aziz, Imam Surau Muhammadiah dan wakil Masjid Azzubair Ibnu Awwam, Cheras.
Semoga objektif program ini tercapai sepertimana yang dirancang
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Jumlah paparan: 2089