Seminar Pembudayaan Wakaf Peringkat Wilayah Persekutuan 2016 Bertemakan 'Wakaf, Untung Dunia, Untung Akhirat'
23 Ogos 2016 (Selasa) – Yayasan Waqaf Malaysia dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Pusat Wakaf MAIWP Sdn. Bhd. telah menganjurkan Seminar Pembudayaan Wakaf Peringkat Wilayah Persekutuan 2016 bertemakan “Wakaf, Untung Dunia, Untung Akhirat” pada hari ini, bertempat di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur. Seminar ini bermula seawal 8.00 pagi dan berakhir sekitar 1.00 tengahari. Penganjuran seminar ini merupakan usaha murni ketiga-tiga agensi dalam menguar-uarkan kepentingan ibadah wakaf kepada umat Islam khususnya dan masyarakat yang lain secara umumnya. Antara objektif dan matlamat lain penganjuran seminar ini adalah memberi penekanan kepada masyarakat mengenai Fiqh Wakaf, iaitu kefahaman kepada makna sebenar ibadah wakaf dan pensyariatannya, di samping menjelaskan mengenai hikmah berwakaf serta potensi wakaf sebagai salah satu sumber kekuatan ekonomi umat Islam. Selain itu, seminar ini bakal memberi input berkenaan pelaksanaan urus tadbir dan perundangan wakaf di Malaysia beserta kaedah-kaedah berwakaf secara tradisional mahupun kontemporari, sebagai ruang kepada masyarakat terutamanya umat Islam untuk melaksanakan ibadah wakaf. Dengan seramai 1,300 orang peserta, seminar ini juga turut berkongsi bersama peserta mengenai pembangunan-pembangunan wakaf yang telah dilaksanakan beserta impak-impak pelaksanaannya daripada sudut sosio-ekonomi, sekaligus menguar-uarkan mengenai peranan utama Majlis Agama Islam Negeri dan agensi Kerajaan Persekutuan seperti Jabatan Wakaf Zakat dan Haji serta Yayasan Waqaf Malaysia yang turut sama mengimarahkan pembangunan wakaf di Malaysia ini. Perasmian seminar disempurnakan oleh YB. Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir, YBrs. Tuan Haji Paimuzi Bin Yahya, Pengarah JAWI merangkap Setiausaha MAIWP. Foto oleh: Mohamad Hafiz Bin Haji Zakaria Teks oleh: Yayasan Wakaf Malaysia |