JAWI Prihatin Masyarakat Orang Asli, Gerik, Perak
27 -29 Julai 2015m / 11 – 13 Syawal 1435h (Isnin – Rabu): Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Penggerak Masyarakat Orang Asli JAKIM ( PMOA) serta Majlis Agama Islam Negeri Perak telah menganjurkan Program Jalinan Kasih & Penyampaian Bantuan Banjir kepada penduduk Perkampungan Orang Asli (KOA) Sungai Tiang, DUN Temenggor, Gerik, Perak Darul Ridzuan.
Program ini merupakan kesinambungan misi bantuan pasca banjir yang telah pun dijalankansebelum ini ke negeri Kelantan, Pahang dan Terengganu. Rombongan daripada JAWI pada kali ini diketuai oleh Ustaz Mohd Zaidi bin Ramli, KPP Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI. Para peserta bertolak daripada JAWI pada jam 8.30 pagi dan tiba di Jeti Awam Tasik Banding, Gerik tepat jam 1.30 petang. Seramai 60 peserta yang terdiri daripada kakitangan JAWI, JAIPk, PMOA, Mubaligh MAIP, kakitangan Jabatan Kesihatan Perak turut sama berganding bahu membawa dan membungkus pelbagai bentuk keperluan harian seperti kuali, beras, minyak masak , kain pelikat dan kain batik dan lain-lain yang disumbangkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Yayasan Taqwa. Jam 7.30 petang, para peserta tiba di KOA Sungai Tiang. Di sebelah malam pula, rombongan menikmati makan malam bersama penduduk KOA Sungai Tiang.
Pada 28 Julai, peserta program berkesempatan melaksanakan “dakwah bil hal” dengan menyampaikan ‘goodies’ ke setiap rumah di kampung tersebut. Selain itu, gotong-royong memasak dan membersihkan sekitar surau dan dewan orang ramai turut diadakan. Pada jam 1 tengah hari, Majlis Perasmian Penutup Program Jalinan Kasih & Penyampaian Bantuan Banjir telah dilaksanakan. Ucapan aluan telah disampaikan oleh Tuan Haji Paimuzi bin Yahya, Pengarah JAWI, Tuan Haji Mohd Kamal bin Mohd Noor, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAIPk (mewakili Pengarah JAIPk) dan Tok Batin KOA Sungai Tiang, Encik Tapong bin Langsat. Majlis penutup telah dirasmikan oleh YB Dato’ Hasbullah bin Osman, Ahli Parlimen Gerik. Tidak ketinggalan juga turut hadir sama Adun Temenggor, YB Puan Salbiah binti Mohamed.
Antara aspek yang perlu diberi penekanan adalah kepentingan memberi pendidikan seawal usia kepada anak-anak Orang Asli. Ilmu adalah wadah terpenting bagi memperbaiki kehidupan agar menjadi lebih baik. Turut dimaklumkan bahawa dengan pelbagai usaha dakwah yang telah dijalankan di perkampungan yang telah dihuni semenjak tahun 1990an itu lagi, akhirnya membuka pintu hidayah kepada Tok Batin dan sebilangan kecil penduduk kampung untuk memeluk Islam pada awal Mac 2015. Diharapkan program ziarah dan dakwah bil hal yang berterusan ini menjadi pemangkin ke arah menarik lebih ramai di kalangan anak-anak Orang Asli untuk tertarik bersama-sama berjuang dalam dakwah agama Yang Esa ini.
Disediakan Oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah,
JAWI, Kuala Lumpur