MAJLIS KHATAM AL-QURAN PERDANA SEKOLAH RENDAH AGAMA (SRA) DAN KELAS AL-QURAN DAN FARDHU AIN (KAFA) JABATAN AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN 2014M/1436H
KUALA LUMPUR, 20 NOVEMBER 2014 – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya menghimpunkan seramai 3,000 murid Sekolah Rendah Agama (SRA) & Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Majlis Khatam Al-Quran Perdana JAWI 2014, bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, pagi ini. Majlis Khatam Al-Quran Perdana yang mula diadakan sejak tahun 2008 itu memberi peluang kepada murid SRA dan KAFA menunjukkan kebolehan mereka memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran kepada ibu bapa, guru, rakan dan masyarakat umum. Selain itu, ia juga turut membuktikan keberkesanan dan kejayaan perlaksanaan kurikulum Tilawah Al-Quran di SRA dan KAFA di samping memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada murid SRA dan KAFA yang telah berjaya khatam Al-Quran di peringkat rendah. Terdahulu, majlis berkenaan dirasmikan oleh YBhg. Tuan Haji Paimuzi Bin Yahya, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) merangkap Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). |
Disediakan oleh:
Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) |