Majlis Ramah Mesra Pengarah JAWI Bersama Mubaligh dan Pelajar Kelas Pengajian Saudara Muslim
Majlis Ramah Mesra Pengarah JAWI Bersama Mubaligh Dan Pelajar Kelas Pengajian Saudara Muslim
Majlis berkenaan juga bertujuan untuk meraikan para mubaligh/tenaga pengajar bersempena sambutan Hari Guru di seluruh Malaysia. YBhg Tuan Hj Che Husin Bin Isa selaku Timbalan Pengarah Operasi JAWI juga turut hadir bersama-sama Pegawai/Kakitangan dari Bahagian Pengurusan Dakwah serta Unit Perhubungan Awam. Ketibaan Pengarah JAWI dan tetamu jemputan disambut meriah dengan alunan selawat beramai-ramai oleh para mubaligh dan pelajar. Majlis pada pagi tersebut dimulai dengan bacaan doa oleh Ustaz Hj Mohamad Bin Hj Yusof, disusuli dengan ucapan khas dan amanat dari Tuan Pengarah JAWI. Beliau telah mengambil kesempatan untuk mengucapkan ‘Selamat Menyambut Hari Guru’ dan ‘Terima Kasih Cikgu’ bersempena dengan sambutan Hari Guru di seluruh Malaysia kepada semua mubaligh dan tenaga pengajar yang telah dilantik kerana bertungkus lumus membantu Jabatan dalam mendidik saudara baru di Wilayah Persekutuan. Dalam ucapannya, beliau turut mengumumkan keputusan Mesyuarat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang telah bersetuju meluluskan kenaikan kadar bayaran elaun pelajar di Kelas Pengajian Islam Saudara Baru JAWI daripada RM20.00 sehari kepada RM50.00 sehari dan juga kenaikan kadar bayaran elaun mubaligh di kelas yang sama iaitu daripada RM 1,000.00 kepada RM 1,500.00 sebulan. Rata-rata yang hadir memberi reaksi yang positif dan gembira dengan pengumuman berkenaan. Sebagai acara kemuncak, para mubaligh diraikan dalam satu acara khas iaitu acara memotong kek beramai-ramai bersama Tuan Pengarah. Selepas itu, Tuan Pengarah dan tetamu jemputan membuat lawatan dan tinjauan ke kelas pengajian dan premis asrama. Majlis berakhir lebih kurang jam 12.00 tengahari dengan jamuan makan. Foto dan teks oleh: Zulkifli Ibrahim Cawangan Kebajikan Saudara Baru Bahagian Pengurusan Dakwah |
Jumlah paparan: 2797