Program Pesona Cinta Rasulallah SAW
12 Februari 2014 (Rabu) - Cawangan Hadharah dan Kefahaman Islam, Bahagian Pengurusan Dakwah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) buat julung kalinya bekerjasama dengan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) dan SENIMAN menganjurkan Program Pesona Cinta Rasulallah SAW bersempena Sambutan Maulidur Rasul 1435H bertempat di Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS), Hulu Kelang.
Program dimulakan dengan persembahan selawat dan qasidah mengiringi makan malam para penonton yang hadir membanjiri dataran FINAS. Program dihadiri lebih 100 penonton yang kebanyakkannya terdiri daripada kalangan para artis veteran ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh Naib Presiden PKAVM, Puan Kismah Johar. Seterusnya Forum Perdana dimulakan dengan tajuk "Pesona Cinta Rasulallah SAW" menampilkan Ustaz Dr Azhar Yaacob (UTMKL) sebagai moderator bersama Ustazah Norhafizah Musa (UTMKL) dan Ustaz Hanafiah Abdul Malek (Pendakwah/Aktivis NGO SIDIM). Forum menarik yang berlangsung selama 1 jam setengah ini menyeru semua yang hadir untuk lebih mengenali keperibadian Rasulullah SAW dari segi fizikal, akhlak, fikrah dan berusaha mengikuti setiap sunnahnya. Menekankan kepentingan selawat dalam amalan harian dan besarnya syafaat yang bakal diperolehi di akhirat, panelis turut mengajak para hadirin untuk turut berselawat bersama-sama. Program seterusnya diakhiri dengan persembahan nasyid, selawat dan gambus oleh barisan artis. Masyarakat lazimnya sering melabel artis dengan pelbagai persepsi negatif. Namun program sebegini diharapkan dapat mengubah sudut pandang sedemikian, meningkatkan kesedaran di kalangan para artis untuk lebih menghayati agama, memperkemaskan ibadah dan amalan harian dan tidak menjadikan diri sebagai punca fitnah. Paling utama diperingatkan bahawa sebagai ikon masyarakat, mereka turut sama berperanan sebagai agen penyebaran dakwah melalui seni. Foto & Teks oleh: Cawangan Hadharah & Kefahaman Islam Bahagaian Pengurusan Dakwah Jabatan Agama Islam Wilayah Pesekutuan (JAWI) |
Jumlah paparan: 4203