DAPUR IT’AM 6.0 EDAR MAKANAN PERCUMA SETIAP HARI

WhatsApp Image 2021 10 04 at 2.33.51 PM 1

 

KUALA LUMPUR, 4 Oktober 2021 - Program Dapur It'am 6.0 kembali diaktifkan bermula hari ini sehingga 6 Mac 2022. Pelancaran program tersebut telah disempurnakan oleh YB Senator Tuan Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Surau Al-Hikmah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin Jinjang Utara. Turut hadir Datuk Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Datuk Haji Mohd Ajib Ismail, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Program Dapur It'am 6.0 anjuran JAWI merupakan inisatif di bawah Pelan Intervensi Agensi Agama Mendepani COVID-19 (PIAGAM C-19) melibatkan penyertaan 70 buah masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Program tersebut dijayakan melalui peruntukan perbelanjaan yangdisalurkan oleh MAIWP berjumlah RM 10,710,000.

Dapur It'am adalah sebuah program berkonsepkan soup kitchen yang berpusat di masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan bagi menyediakan pek makanan dengan pelbagai jenis menu masakan setiap hari secara percuma kepada golongan sasaran yang memerlukan. Tujuan utama program tersebut adalah menyasarkan sifar lapar dalam tempoh pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Kaedah pelaksanaan program adalah petugas masjid dan surau memasak makanan tengah hari secara bergotong-royong di dapur masjid dan surau serta dibungkus untuk diedarkan kepada golongan sasaran yang ditentukan dalam kalangan penduduk Projek Perumahan Rakyat, Projek Perumahan Awam, B40, Asnaf dan Petugas Barisan Hadapan. Proses agihan makanan tengah hari akan dilaksanakan pada setiap hari, Isnin hingga Ahad berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Program Dapur It’am 6.0 dijangka dapat memberikan manfaat kepada 8,400 orang penerima setiap hari, manakala jumlah keseluruhan penerima manfaat yang dijangkakan sepanjang program tersebut berlangsung berjumlah 1,285,200 orang. Dapur It’am adalah inisiatif yang telah digerakkan semenjak awal tempoh pandemik melanda negara tahun lalu. Sehingga bulan Oktober 2021, 1,639,256 pek makanan bermasak bernilai RM 13,521,690 telah diagihkan kepada ‘Keluarga Malaysia’ yang memerlukan.

WhatsApp Image 2021 10 04 at 2.33.50 PM WhatsApp Image 2021 10 04 at 2.33.50 PM 1
WhatsApp Image 2021 10 04 at 2.33.51 PM  
   
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Cetak   Emel