KURSUS PENINGKATAN PROFESIONALISME PNCR & PPNCR WILAYAH PERSEKUTUAN SIRI 1/2025: MENGUKUHKAN MUTU PERKHIDMATAN BERLANDASKAN SYARAK DAN UNDANG-UNDANG

22 Julai 2025 | 26 Muharram 1447H (Selasa) – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK) telah menganjurkan Kursus Peningkatan Profesionalisme Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ Orang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan (PNCR & PPNCR) Siri 1/2025 bertempat di Dewan Masjid Al-Akram, Datuk Keramat, Kuala Lumpur.


Kursus yang berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang ini telah melibatkan seramai lebih dari 70 orang peserta terdiri daripada Pendaftar dan Penolong Pendaftar dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.


Objektif utama kursus ini adalah untuk:
- Mengeratkan hubungan dan meningkatkan kerjasama antara Pendaftar dan Penolong Pendaftar dengan pihak Jabatan;
- Menyampaikan maklumat terkini berkenaan peraturan serta prosedur semasa yang berkaitan dengan urusan perkahwinan orang Islam;
- Memperkasakan kefahaman berkaitan pelaksanaan tugas mengikut hukum syarak dan peruntukan undang-undang, khususnya Akta 303 - Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984.


Kursus ini telah menampilkan penceramah jemputan iaitu YBrs. Dr. Mohammad Nidzam bin Abdul Kadir, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia. Beliau telah menyampaikan ceramah bertajuk:
"Rukun Nikah dari Perspektif Empat Mazhab Fiqh"


Ceramah ini memberi tumpuan kepada perbezaan dan persamaan pandangan empat mazhab utama dalam Islam iaitu Hanafi, Maliki, Syafi‘i dan Hanbali berkaitan rukun nikah, serta implikasinya terhadap urusan perkahwinan dalam konteks pentadbiran undang-undang keluarga Islam di Malaysia.

Pada sebelah petang, telah diadakan sesi Diskusi Isu-Isu Nikah, Cerai dan Ruju’ yang dikendalikan oleh YBrs. En. Mohammad Maliki bin Yaacob, YBrs. Pn. Nik Norliza binti Nik Kamaludin, dan YBrs. En. Mohd Nizam bin Md Nor. Ketiga-tiga mereka merupakan pegawai kanan Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK), JAWI yang juga merangkap Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ Orang Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Slot ini bertujuan memberi pencerahan berkaitan isu-isu semasa serta menjawab persoalan dan kemusykilan peserta berhubung urusan perkahwinan, perceraian dan rujuk berdasarkan prosedur pentadbiran dan kehendak syarak.
Penganjuran kursus ini diharap dapat meningkatkan lagi tahap profesionalisme dalam kalangan Pendaftar dan Penolong Pendaftar, sekali gus memastikan mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan sentiasa cemerlang, efisien dan patuh syariah.

BAHAGIAN PERKAHWINAN DAN PEMBANGUNAN KELUARGA (BPPK)
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)