KURSUS PENGURUSAN JENAZAH SIRI 1 TAHUN 2025

26 JUN 2025M | 29 ZULHIJAH 1446H (KHAMIS) - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Unit Sosial, Masjid Negara telah mengadakan Kursus Pengurusan Jenazah Siri 1 tahun 2025 bertempat di Bilik Seminar, Masjid Negara dan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Gombak, Kuala Lumpur. Kursus yang berlangsung selama 2 hari iaitu pada 25 Jun 2025 sehingga 26 Jun 2025 ini telah dihadiri seramai 80 orang peserta yang terdiri dari 4 buah agensi kerajaan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hospital Kuala Lumpur (HKL), Rehabilitasi Cheras dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM).
Kursus ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan latihan praktikal kepada masyarakat berkaitan tatacara pengurusan jenazah menurut syariat Islam, yang merangkumi penyediaan peralatan, memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan mengurus pengebumian jenazah.
Penceramah jemputan, YBrs. Ustaz Mohd Marngi bin Wasim, telah berkongsi ilmu serta pengalaman luas dalam bidang ini dan menekankan bahawa pengurusan jenazah merupakan tanggungjawab fardhu kifayah yang harus dipelajari oleh setiap Muslim. Manakala YBrs. Dr. Mohd Zamro bin Muda, Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diundang bagi berkongsi ilmu berkaitan Faraid dan Harta Pusaka Islam.
Bagi slot seterusnya, peserta telah dibahagikan kepada 6 kumpulan untuk sesi praktikal pengurusan jenazah yang merangkumi tatacara mandi, kafan dan solat jenazah dengan bimbingan 6 orang fasilitator dari Unit Kebajikan Islam, JAWI.
Pada hari kedua, para peserta didedahkan dengan tatacara pengurusan jenazah yang sebenar secara langsung dengan bimbingan fasilitator JAWI. Amali ini bermula dari proses memandikan sehingga proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Gombak, Kuala Lumpur.
Kursus seumpama ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai pentingnya ilmu pengurusan jenazah serta melahirkan lebih ramai individu yang bersedia menyumbang dalam hal ehwal kematian di komuniti masing-masing.
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan





