PERKONGSIAN ILMU YB MENTERI TENTANG AKTA 303 PERKASA KEFAHAMAN PENDAFTAR PERKAHWINAN, PERCERAIAN DAN RUJU' ORANG ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN
19 Jun 2025 | 22 Zulhijjah 1446H – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK) telah menganjurkan Kelas Bacaan dan Pemahaman Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] Siri 1 Tahun 2025 bertempat di Dewan Muslimin, Masjid Wilayah Persekutuan.
Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi ini telah menghimpunkan seramai lebih 100 orang Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam (PNCR & PPNCR) dari seluruh Wilayah Persekutuan sebagai peserta utama. Penganjuran program ini bertujuan memperkukuh kefahaman berhubung pelaksanaan peruntukan undang-undang di bawah Akta 303 secara lebih menyeluruh dan tersusun.
Turut hadir ke program ini Tuan Haji Hanifuddin bin Roslan, Pengarah JAWI, Puan Rabihah binti Ibrahim, Ketua Penolong Pengarah Kanan BPPK JAWI merangkap Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan, warga BPPK JAWI, dan pegawai serta kakitangan dari pelbagai bahagian di JAWI.
Program dimulakan dengan sesi utama iaitu pembentangan dan syarahan penuh Akta 303 dari Seksyen 62 hingga Seksyen 63 yang telah disampaikan oleh Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Pengisian program disusun dalam dua sesi utama pembentangan dan diikuti dengan sesi soal jawab yang interaktif, memberi ruang kepada para peserta untuk mengemukakan persoalan serta mendapatkan penjelasan secara langsung daripada YB Menteri. Program turut diserikan dengan penyampaian tauliah pelantikan Pendaftar Kanan Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan kepada Pengarah JAWI yang disempurnakan penyampaiannya oleh YB Menteri, serta sesi bergambar kenangan.
JAWI komited untuk terus memperkasa integriti, kefahaman dan profesionalisme para PNCR dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sejajar dengan kehendak perundangan syariah serta aspirasi Malaysia MADANI.
BAHAGIAN PERKAHWINAN DAN PEMBANGUNAN KELUARGA (BPPK)
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)