Kedai Makan Asnaf 1 Malaysia

 KEDAI MAKAN ASNAF 1MALAYSIA
 

 

           alt

 

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan  telah mengadakan Program Kedai Makan Asnaf 1Malaysia bermula pada 1 Januari 2013  bertempat di No. 25, Bangunan Darul Jam’iyah, Jalan Rahmat Off Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Antara objektif program ini adalah bagi membantu golongan asnaf untuk mendapatkan keperluan asas makanan dan meningkatkan kefahaman Islam melalui program-program yang diadakan.

Program ini berbentuk pemberian makan tengahari secara percuma kepada golongan asnaf fakir, miskin, saudara baru, gelandangan dan terbuka kepada mana-mana kakitangan kerajaan/ swasta yang berpendapatan di bawah had kifayah.

Masa pengedaran makanan adalah mulai jam 12.45 tengahari hingga 4.00 petang setiap hari. Menu makanan yang disediakan adalah variasi makanan seimbang dan ia boleh dinikmati di premis ini atau dibungkus mengikut keperluan pengunjung.

            Selain daripada makan tengahari percuma, program ini juga mengadakan kelas-kelas pengajian Islam yang dikendalikan oleh tenaga pengajar yang terpilih untuk memberi pengetahuan asas al-Quran, fardhu ain, akhlak dan motivasi. Kelas-kelas ini dijalankan pada setiap hari Isnin hingga Khamis sepanjang tahun. Selain itu, urusetia JAWI yang dilantik akan memantau secara harian dan memberi khidmat nasihat kepada golongan asnaf yang memerlukan bantuan.

            Program Kedai Makan Asnaf 1Malaysia ini merupakan usaha dakwah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui pelaksanaan dakwah bil hal iaitu bukan sahaja pengisian jasmani malah pengisian rohani bagi golongan asnaf sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

 

No. 25, Bangunan Darul Jam’iyah, Jalan Rahmat Off Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.