17 APRIL 2025M | 18 SYAWAL 1446H (KHAMIS) - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Bahagian Pengurusan Dakwah (BPD) dan Bahagian Pengurusan Masjid (BPM) telah menganjurkan Program Ziarah Ramah Siri 2 bersempena Aidilfitri tahun 2025M/1446H. Program berbentuk Dakwah Bil Hal ini merupakan salah satu program strategik JAWI melalui kolaborasi strategik bersama institusi masjid dan juga hospital bagi merealisasikan program Hospital Mesra Ibadah (HMI).
Program menyantuni para pesakit telah dimulakan dengan bacaan doa, seterusnya penyampaian sumbangan barangan keperluan diri serta sumbangan wang tunai di samping bertanya khabar dan diakhiri dengan kata-kata semangat kepada para pesakit. Menziarahi pesakit merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam sebagaimana Hadis Nabi SAW Tidakkah engkau tahu, si fulan hamba-Ku sakit, tetapi engkau tidak menjenguknya? Tidakkah engkau tahu bahawa jika engkau menjenguknya, nescaya engkau akan dapati Aku di sisinya?” [Hadis Riwayat Muslim, no. 2569].
Program ziarah kali ini diketuai oleh YBrs. Tuan Haji Kamaldin bin Mohd Damin, Timbalan Pengarah (Operasi) JAWI diiringi Puan Suraiti Binti Alias, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Dakwah dan Encik Mohd Faizul bin Mohd Razali, Penyelaras Zon 6, Bahagian Pengurusan Masjid, JAWI. Rombongan JAWI telah disambut oleh Pihak Pengurusan PPUM yang diketuai oleh Encik Khairul Anuar bin Yahya, Timbalan Pengarah (Pengurusan) PPUM dan Puan Chew Yee Yean, Timbalan Pengarah (Ikhtisas).
Seramai 50 orang pesakit telah disantuni dan menerima sumbangan tersebut. Semoga dengan aktiviti dakwah ke lapangan seumpama ini dapat memberi sokongan moral dan meringankan bebanan kepada para pesakit.
JAWI merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada PPUM. Semoga kolaborasi strategik seumpama ini berterusan dalam menyuburkan Islam di Wilayah Persekutuan.
Disediakan oleh,
Bahagian Pengurusan Dakwah, JAWI
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan