21 MAC 2025M / 20 RAMADAN 1446H (JUMAAT) - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Cawangan 'Ilaj Home, Bahagian Pengurusan Dakwah telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Jamaie bersama klien ‘Ilaj Home. Program yang telah dihadiri seramai 150 orang ini bertujuan untuk mengimarahkan dan meningkatkan amalan ibadah sepanjang bulan Ramadan serta sebagai alternatif rawatan dan pemulihan kepada Orang Yang Hidup Dalam HIV/AIDS (ODHA).
Majlis dimulakan dengan program tadarus Al-Quran yang dipimpin oleh YBrs. Us. Lukman bin Mohd. Hosni, Ketua Penolong Pengarah, Cawangan 'Ilaj Home serta turut melibatkan klien dan kakitangan 'Ilaj Home. Majlis ini juga turut dihiasi dengan Tazkirah Ramadan yang bertajuk "Puasa Membangun Aset Akhirat" yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Zulkifli bin Makhtar, Pegawai Hal Ehwal Islam, Kementerian Kerja Raya Kuala Lumpur.
Majlis diserikan juga dengan kehadiran YBrs. Puan Imlah binti Abd Aziz, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI, YBrs. Tuan Ahmad Saifuddin bin Haji Md Tahir, Pengurus Bahagian Pembangunan Asnaf MAIWP, serta wakil daripada agensi-agensi rakan strategik JAWI antaranya pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Rumah Perlindungan PERNIM, Rumah Sahabat, Rumah Solehah, Persatuan Insaf Murni Malaysia, dan Kumpulan Sokong Bantu Satu Malaysia. Turut diundang hadir bersama menyerikan majlis ini adalah ahli keluarga dan waris klien-klien 'Ilaj Home.
Majlis telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Hj. Kamaldin bin Mohd Damin, Timbalan Pengarah Operasi JAWI kemudian diteruskan dengan penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada para klien.
Majlis kemudiannya disusuli dengan sesi Iftar Jamaie dan solat fardu Maghrib dan Isyak berjemaah serta diakhiri dengan Solat Sunat Tarawih di Surau Al-Sofa, Kompleks 'Ilaj Home yang dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Afifuddin Abdulmuiz bin Hamid, Penolong Pengarah Kanan Cawangan 'Ilaj Home. Semoga dengan penganjuran program ini dapat menjadi pemangkin kepada para klien 'Ilaj Home untuk lebih bersemangat dalam melaksanakan tuntutan ibadah dan mengimarahkan bulan Ramadan serta menambahkan rasa kesyukuran dalam bulan yang mulia ini.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Dakwah,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan