PERSIDANGAN PENGERUSI-PENGERUSI JAWATANKUASA KARIAH MASJID DAN SURAU JUMAAT WILAYAH PERSEKUTUAN

 

 WhatsApp Image 2022 06 13 at 1.53.11 PM 3

13 Jun 2022 (Isnin) – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah menganjurkan Persidangan Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat Wilayah-Wilayah Persekutuan pagi tadi bertempat di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Program yang dilaksanakan secara tahunan semenjak tahun 2018 itu menyediakan platform kepada para peserta untuk berkongsi maklumat, pandangan dan pengalaman dalam usaha memaksimumkan peranan dan fungsi masjid lebih-lebih lagi dalam Fasa Peralihan ke Endemik. Selain itu, persidangan tersebut juga menjadi medan percambahan idea bagi mewujudkan pembaharuan dan inovasi dalam bidang pengurusan masjid. Seramai 490 orang peserta yang hadir terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat serta Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dan surau Jumaat dari seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan. Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Senator Datuk Haji Idris Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir Datuk Haji Mohd Ajib Ismail, Pengarah JAWI dan Profesor Ir. Dr. Shaliza Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaya.

 
Perkongsian pengalaman tentang pengurusan masjid terbaik telah disampaikan oleh Datuk Haji Abdul Jamal bin DSP Tun Dr. Haji Sakaran, Pengerusi Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dan Haji Mohd Shah bin Hasim, Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Rahimah, Kuala Lumpur. Satu kertas cadangan berkaitan Penubuhan Tabung Pembangunan dan Penyelengaraan Masjid dan Surau di Wilayah Persekutuan dibentangkan sebagai usaha mewujudkan sumber kewangan bagi membantu pembangunan dan penyelenggaraan masjid dan surau yang kurang berkemampuan. Sepanjang tahun 2021, sejumlah RM 2,878,901 peruntukan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) digunakan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan masjid dan surau seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan.
 
Dalam majlis yang sama, JAWI juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Masjid Hijau bersama Universiti Malaya dalam usaha mengimplementasikan amalan lestari dan inovasi hijau masjid-masjid di Wilayah Persekutuan selaras dengan Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024. YB Menteri turut melancarkan buletin Al-Mihrab yang diterbitkan secara berkala sebagai wadah menyebarkan pelbagai informasi dan aktiviti pengimarahan masjid dan surau agar lebih ramai ahli kariah dan masyarakat mendapat manfaat dari program yang dianjurkan. Untuk rekod, sehingga kini terdapat 89 masjid, 123 surau Jumaat, dan 611 surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
WhatsApp Image 2022 06 13 at 1.53.11 PM 2  
WhatsApp Image 2022 06 13 at 1.53.11 PM WhatsApp_Image_2022-06-13_at_2.11.24_PM.jpgWhatsApp Image 2022 06 13 at 2.11.24 PM 1
   
WhatsApp_Image_2022-06-13_at_1.42.40_PM.jpg