MALAM MAHABBAH AL-QURAN 1439H BACAAN 30 JUZUK AL-QURAN DAN TAHLIL PERDANA
25 Januari 2018M / 8 Jamadil Awwal 1439H ( Khamis ) - Masjid Al-Zakirin, Taman Wilayah Selayang, Kuala Lumpur telah menganjurkan Malam Mahabbah Al-Quran tahun 1439H/2018M bertempat di Dewan Solat Utama Masjid Al-Zakirin. Program ini telah disertai hampir 200 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dari kalangan jemaah dan surau-surau di bawah naungan masjid. Pada malam tersebut, peserta telah dibahagikan kepada 30 kumpulan – 3 orang setiap kumpulan mengikut bilangan juzuk Al-Quran. Juzuk 1 – 15 dibaca oleh muslimat manakala juzuk 16 – 30 dibaca oleh muslimin. Setiap kumpulan terdiri daripada dewasa, belia dan remaja. Bacaan 30 juzuk Al-Quran bermula selepas Solat Fardhu Maghrib dengan taklimat ringkas daripada Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Zakirin. Seusai bacaan Al-Quran 30 juzuk secara serentak, Tahlil Perdana dimulakan dan dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Firdaus Bin Zakaria, Timbalan Ketua Imam merangkap Ketua Pentadbir Masjid Al-Zakirin. Program diteruskan lagi dengan penyampaian cenderahati kepada wakil pembaca Al-Quran dari muslimin dan muslimat yang telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Ab. Wahab Bin Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Zakirin. Jamuan makan malam untuk para jemaah dan tetamu yang hadir adalah sebagai penutup program selepas Solat Fardhu Isyak. Pihak Masjid Al-Zakirin amat berharap program ini dapat dijadikan sebagai salah satu daripada acara tahunan masjid kerana ianya dapat memupuk minat dan rasa cinta kepada Kalamullah yakni Al-Quran disamping mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama jemaah dari pelbagai peringkat umur di dalam kariah Taman Wilayah Selayang ini.
|